Tuesday, October 03, 2006

Gusti Jamiril tokoh ulama, raja dan pahlawan

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM Halaman Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 12 Jun 2006, telah diceritakan kisah Raja Haji, Pahlawan Teragung Nusantara, iaitu saudara sepupu Gusti Jamiril. Gusti Jamiril ialah putera Upu Daeng Menambon. Raja Haji pula ialah putera Upu Daeng Celak.
Upu Daeng Menambon dan Upu Daeng Celak ialah adik-beradik. Kajian awal saya tentang riwayat mereka adalah bersumberkan Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat an-Nafis. Kedua-duanya ialah kitab karangan Raja Ali Haji.
Selain kedua-dua karya tersebut, beberapa versi tulisan tangan naskhah Mempawah dan Pontianak juga menjadi sumber saya. Selain yang terakam berupa tulisan, cerita lisan juga saya dengar di Mempawah dan Riau.
Perlu juga saya sebutkan di sini bahawa Gusti Jamiril sebenarnya ada peranan yang tersendiri dalam kedua-dua karya Raja Ali Haji yang dinyatakan itu kerana sejarah asalnya berdasarkan tulisan Upu Daeng Menambon dengan tulisan dan bahasa Bugis. Yang menterjemahkannya daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu ialah Gusti Jamiril.
Terjemahan Gusti Jamiril itulah yang diproses oleh Raja Haji Ahmad, iaitu putera Raja Haji, tetapi tidak sempat diselesaikan lalu disambung oleh putera beliau, Raja Ali Haji. Gusti Jamiril digelar juga dengan gelaran Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya. Beliau mangkat pada waktu Zuhur, hari Ahad, bulan Zulkaedah 1204 H/Julai 1790.
Pada judul artikel ini saya nyatakan bahawa Gusti Jamiril ialah ulama, raja dan pahlawan. Ketiga-tiganya dapat dibuktikan.
Persyaratan seorang ulama bermula dengan pengetahuan alat Arabiyah, seperti ilmu nahu, ilmu sharaf, dan lain-lain, serta pelbagai bidang ilmu Islam yang lain. Gusti Jamiril sempat belajar segala persyaratan itu dengan Saiyid Husein al-Qadri (Mufti Mempawah yang pertama) dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (Mufti Mempawah yang ke-2).
Walau bagaimanapun, sistem mendidik kedua-dua ulama itu adalah berbeza. Saiyid Husein al-Qadri yang berasal dari negeri Arab, mengutamakan lughah Arabiyah. Sedangkan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, yang berasal dari Patani, memperkenalkan sistem pendidikan pondok seperti di Patani. Sistem Pondok Patani lebih mengutamakan kecermatan dalam membaca setiap kitab bahasa Arab. Dalam hal ini penting seseorang ulama menguasai ilmu nahu, ilmu sharaf, dan semua ilmu alat Arabiyah.
Bukti Gusti Jamiril menguasai ilmu-ilmu Islam disebut oleh Raja Ali Haji dalam Salasilah Melayu dan Bugis. Sewaktu Gusti Jamiril ke Pinang Sekayuk, antara pertanyaan Pangeran Dipati adalah: “Apakah cundaku tahu mengaji Quran?” Jawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka baginda menyuruhnya membaca al-Quran. Maka membacalah Gusti Jamiril. Dalam dua maqra' beliau berhenti.
“Apakah cundaku sudah mengaji nahu dan sharaf?” Maka dijawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka disuruhnya ertikan ayat al-Quran yang dibaca itu.
Maka diertikan lafaz maknanya. Selain sebagai seorang yang menguasai ilmu yang banyak, Gusti Jamiril juga sangat kuat berwirid. Amalan yang tiada ditinggalkannya ialah tilawah al-Quran, selawat atas Nabi Muhammad s.a.w., zikir dan lain-lain. Selawat yang diamalkannya ialah ‘Shalawat Dalail al-Khairat’. Amalan selawat tersebut juga tidak pernah ditinggalkan oleh Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-IV, saudara sepupu Gusti Jamiril.
KERAJAAN MEMPAWAH
Upu Daeng Menambon, Raja Mempawah yang pertama, mangkat pada 26 Safar 1174 H/7 Oktober 1760 M (riwayat lain baginda mangkat tahun 1166 H/1752 M). Baginda diganti oleh puteranya yang bernama Gusti Jamiril, diberi gelar ‘Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya’, atau selanjutnya disingkat kepada Adiwijaya saja. Pada zamannya pusat pemerintahan Mempawah dipindahkan dari Sebukit Raya ke Pulau Pedalaman, Mempawah Hilir. Namun setelah terjadi perselisihan dengan Belanda, Penembahan Adiwijaya terpaksa memindahkan pusat pemerintahan dari Pulau Pedalaman, Mempawah ke Hulu Mempawah iaitu satu lokasi yang sangat jauh yang dinamakan Karangan.
Penembahan Adiwijaya ialah seorang ulama dan raja yang tidak mahu ditakluk penjajah Belanda. Baginda lebih sedia dan setia mengikut jejak langkah perjuangan saudara sepupunya, Raja Haji (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-IV) yang gugur sebagai syahid fi sabilillah di Melaka. Ia merupakan langkah yang sama seperti anak saudara sepupunya, Raja Ali Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-V, yang ketika itu terpaksa berhijrah menyusun strategi di Sukadana.
Pihak Belanda menuduh Adiwijaya bersekongkol dengan pahlawan yang berasal dari Riau itu. Oleh sebab Belanda tidak dapat mengesan apatah lagi menangkap Raja Ali, maka tekanan yang sangat keras dikenakan ke atas Adiwijaya kerana hanya baginda sendiri mampu menyembunyikan Raja Ali.
Padahal ketika itu Raja Ali yang sangat faham keadaan maritim bukan setakat berada di Sukadana tetapi kadang-kadang berada di Kepulauan Tambelan. Kadang-kadang beliau berada di Kepulauan Siantan dan tempat-tempat lain.
Akibat Penembahan Adiwijaya tidak mahu dijajah oleh bangsa asing yang bukan Islam, maka kolonial Belanda dengan dalih untuk pemulihan yang disebut Rusten en orde (Ketenteraan) mengirim pasukan tentera penjajah itu dari Pontianak menyerang Mempawah. Peristiwa tersebut terjadi pada tahun 1787 M. Oleh sebab pendengaran, penciuman dan pandangan Penembahan Adiwijaya untuk mengetahui kondisi dan situasi dalam keadaan aman dan perang memang hebat, ternyata yang diserang hanyalah tempat yang telah dikosongkan. Penghijrahan Penembahan Adiwijaya bersama dengan pengikut-pengikut setia baginda dari Pulau Pedalaman Mempawah Hilir ke Karangan Mempawah Hulu dilakukan sekitar 1786.
Setelah kekosongan pentadbiran Mempawah, Syarif Abdur Rahman al-Qadri, Sultan Pontianak, saudara ipar Penembahan Adiwijaya, mengambil langkah bijaksana dengan melantik putera beliau, Pangeran Syarif Qasim al-Qadri menjadi Raja di Mempawah.
Ibu Syarif Qasim al-Qadri ialah Utin Cenderamidi iaitu adik-beradik Penembahan Adiwijaya. Jadi Pangeran Syarif Qasim al-Qadri masih layak menjadi Raja di Mempawah kerana beliau ialah cucu Upu Daeng Menambon. Walau bagaimanapun perang antikolonial Belanda di sana-sini masih berlaku yang melibatkan Gusti Jati dan Gusti Mas, kedua-duanya putera Adiwiyaja.

Makam
Kedua-duanya dapat membentuk pasukan gabungan Melayu dan Dayak. Tempat-tempat yang pernah tercetus perang antaranya ialah di Galah Herang, Sebukit Rama, di sekitar makam Upu Daeng Menambon dan Sangking.
Perang di Mempawah itu berlarutan hingga tahun 1788 M. Pada tahun itu pula Sultan Mahmud dan Bendahara Abdul Majid Pahang mengirim utusan ke Mempawah mengajak pihak Mempawah dan Raja Tempasok untuk menyerang Belanda yang telah menjajah Riau. Situasi Mempawah sangat gawat, maka pihak Mempawah tidak bersedia untuk membantu Sultan Mahmud Riau. Begitu juga Raja Tempasok kerana penentangan masih ditumpukan kepada pihak Belanda yang telah menguasai Pontianak dan akan menjajah Mempawah pula.
Sewaktu utusan Riau datang ke Mempawah, pada waktu itulah terjadi pergaduhan antara orang-orang Cina dengan orang-orang Melayu di sekitar Kuala Mempawah. Diriwayatkan bahawa pergaduhan itu terjadi kerana orang-orang Cina yang terlibat dengan organisasi rahsia mereka di Mandor telah mengambil kesempatan membantai orang Melayu dan Bugis ketika terjadi peperangan antara Melayu-Bugis dengan Belanda.
Muncullah pahlawan-pahlawan Riau dan Patani yang gagah perkasa. Orang Cina yang beratus-ratus hanya dihadapi oleh tiga orang. Mereka ialah Habib Syaikh, yang terkenal dengan keramatny dan Tengku Sembob yang terkenal dengan kegagahan dan kehandalannya bermain senjata. Kedua-dua mereka berasal dari Riau.
Yang seorang lagi ialah Abdur Rahman yang digelar orang dengan nama Wak Tapak. Beliau berasal dari Patani. Beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Ketiga-tiga mereka yang membela Islam dan bumi Melayu itu termasuk antara orang-orang terdekat dengan Penembahan Adiwijaya yang diriwayatkan ini.
Setelah perang berakhir, beberapa orang putera dan kerabat yang terdekat memujuk Penembahan Adiwijaya supaya berpindah semula ke Pulau Pedalaman Mempawah untuk membangunkan Mempawah kembali. Mereka ingin membina kembali masyarakat Melayu-Bugis yang beragama Islam supaya mereka menjadi penyebar-penyebar Islam dalam lingkungan penduduk suku Dayak yang sebahagian besarnya masih animisme.
Ajakan suci itu pada mulanya diterima oleh Penembahan Adiwijaya, tetapi setelah melakukan sembahyang istikharah berulang-ulang kali, baginda membuat kesimpulan bahawa selagi Belanda, iaitu penjajah, yang tidak seagama dengan baginda masih bercokol di Pontianak, apatah lagi Mempawah memang sudah dalam genggaman Belanda, selama itulah penyebaran Islam akan mendapat hambatan daripada pihak penjajah itu.
Penembahan Adiwijaya berasakan umurnya telah lanjut, seakan-akan baginda tahu ajalnya telah hampir tiba.
Oleh itu sebelum mangkat baginda berwasiat. Bahawa baginda tidak rela jenazahnya dikebumikan di tempat yang pernah dijamah oleh penjajah Belanda. Ketika Penembahan Adiwijaya mangkat terjadi sedikit pertikaian iaitu ada kerabat yang mempertahankan wasiat baginda supaya dimakamkan di Karangan, bumi tempat baginda mangkat yang belum dijamah oleh Belanda.
Golongan kerabat baginda yang lain pula berpandangan bahawa ‘wasiat tinggal wasiat’, dan berpendapat baginda mesti dimakamkan di Pulau Pedalaman Mempawah. Kononnya jenazah Penembahan Adiwijaya dimasukkan ke dalam sebuah peti yang dimuat dalam sebuah sampan lalu dibawa ke hilir menelusuri Sungai Mempawah. Ia dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah.
Semua pengiring dan petugas hairan kerana dengan tiba-tiba air sungai menjadi kering. Sampan yang membawa peti jenazah terkandas. Ternyata peti bertambah ringan, lalu dibuka. Tiba-tiba didapati jenazah Penembahan Adiwijaya tidak terdapat dalam peti itu lagi. Peti yang kosong tiada berjenazah itu terus juga dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah menurut adat istiadat kebesaran raja pada zaman itu.
Hingga kini belum diketahui di manakah sebenarnya makam Penembahan Adiwijaya kerana terdapat dua makam beliau. Makam yang pertama terletak di Karangan (Mempawah Hulu) dan yang sebuah lagi di Pulau Pedalaman (Mempawah Hilir).
Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu memiliki makam lebih daripada satu, antaranya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati yang makamnya terletak di Afrika Selatan dan Sulawesi Selatan. Makam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula terdapat di Taif dan di Mekah. Terjadinya hal yang demikian semuanya ada sejarah yang tersendiri.

RAJA MEMPAWAH TERAKHIR

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Dua siri keluaran yang terdahulu telah diceritakan dua orang keturunan Upu Daeng Celak, iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Syah, Selangor dan Raja Ali Kelana Riau.

Keluaran kali ini diperkenalkan pula keturunan Upu Daeng Menambon. Nama lengkapnya ialah Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin bin Gusti Ibrahim, raja terakhir yang memerintah Mempawah (yang ke-13).Upu Daeng Celak dan Upu Daeng Menambon adalah adik beradik.

Dalam penulisan sejarah yang dilakukan oleh Raja Ali Haji dan penulis-penulis lain pada masa dulu, selalu menyebut hubungan kekeluargaan antara Mempawah dan negeri-negeri Melayu di Riau, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain.

Oleh itu tulisan ini mengingatkan kembali hubungan kekeluargaan yang pernah wujud pada masa silam itu. Sebelum melanjutkan kisah yang termaktub pada judul di atas, terlebih dulu dirasakan perlu menyebut nama raja-raja yang memerintah Mempawah dari awal hingga ditutup dengan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin (Raja yang ke-13).

Raja yang pertama ialah Raja Dayak, iaitu Patih Gumantar pada tahun 1380 Masihi. Raja kedua, iaitu Kerajaan Mempawah Hulu yang berpusat di Pukan Raja ialah Raja yang bernama Penembahan Kudung dengan isterinya, Puteri Burkalim pada tahun 1610 Masihi-1680 Masihi. Raja ketiga pada tahun 1680 Masihi, Penembahan Sepauk/Senggauk memerintah kerajaan di Sepauk di Perhuluan Mempawah.

Semua raja yang tersebut belum menganut sesuatu agama (animisme)Raja keempat, Upu Daeng Menambon, iaitu raja Islam yang pertama di Mempawah pada tahun 1740, berasal dari negeri Bugis. Raja kelima, putera kepada Gusti Jamiril bergelar Penembahan Adiwijaya Kesuma yang terkenal anti penjajah Belanda. Baginda adalah saudara sepupu dengan Raja Ali Haji (Riau), Raja Lumu (Selangor) dan lain-lain.

Raja keenam pada tahun 1804, Gusti Jati yang bergelar Sultan Muhammad Zainal Abidin Putera Mahkota. Raja ketujuh pada tahun 1831, Gusti Amin. Raja kelapan pada tahun 1839, Penembahan Mu'min. Raja kesembilan pada tahun 1855 yang terkenal dengan gelaran Penembahan Mahmud. Raja kesepuluh pada tahun 1858, Gusti Utsman. Raja kesebelas, Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Saifuddin pada tahun 1872. Raja kedua belas iaitu Puteri Raja Gusti Intan dengan gelaran Ratu Permaisuri pada tahun 1887.

Raja ketiga belas yang diriwayatkan ini, ialah Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, lahir pada tahun 1288 Hijrah/1871 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1944 Masihi. Beliau memerintah Mempawah pada tahun 1322 Hijrah/1904 Masihi - 1363 Hijrah/1944 Masihi.

ULAMA DI MEMPAWAH

Mulai pemerintahan Upu Daeng Menambon di Mempawah, beliau mendatangkan seorang ulama berbangsa Arab, Sayid Husein bin Sayid Ahmad al-Qadri. Putera Upu Daeng Menambon yang bernama Gusti Jamiril mendapat pendidikan daripada ulama ini dan dilanjutkan dengan Syeikh Ali bin Faqih yang datang dari Patani. Diriwayatkan bahawa Gusti Jamiril mendapat pendidikan Islam yang mendalam daripada kedua-dua ulama Arab dan Patani itu.

PENDATANG

Sampai pada zaman pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, tradisi menampung ulama pendatang di Mempawah berjalan terus. Ulama yang datang dari Semenanjung ke Mempawah ketika baginda memerintah antaranya ialah Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah, Haji Abdur Rahman bin Husein berasal dari Kelantan dan Haji Muhammad Saleh Sarawak.

Ulama yang datang dari Patani ialah Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Selain ituada juga dari Arab seperti Syeikh Yusuf al-Manshuri. Dari Banjar Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari.Antara guru Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin dalam bidang agama yang dapat dikesan ialah Haji Abdul Fattah, Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani, Haji Ali bin Sulaiman dan ramai lagi.

Daripada data ini dapatlah diketahui latar pendidikan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, bahawa beliau memperoleh pendidikan Islam seimbang dengan pendidikan kenegaraan yang diperoleh dalam lingkungan Istana Kerajaan Mempawah sendiri.Ulama yang berkhidmat dalam masa pemerintahan Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin yang paling akhir meninggal dunia ialah Haji Ahmad dan Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani.

Haji Ahmad berasal daripada keturunan Pulau Pinang. Jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Sementara Haji Abdur Rahman Kelantan pula, jawatan yang disandangnya ialah Maharaja Imam Mempawah. Penulis sempat mewawancara kedua-dua ulama tersebut pada tahun 1968 -1970.Penulis mempunyai beberapa buah kitab bahasa Arab bekas milik Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin.

Sungguh mengkagumkan kerana beberapa judul, antaranya adalah kitab yang besar berjilid-jilid. Ada pula yang tidak diterbitkan lagi dan sukar mendapatkannya. Kitab yang besar antaranya ialah Fathul Bari, iaitu kitab syarah Shahih Bukhari yang terkenal oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani. Memperhatikan kitab-kitab yang ditinggalkan dandirujuk dalam dua buah karangannya yang telah dijumpai, dapatlah diyakini bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin adalah seorang raja Melayu yang mampu memahami kitab-kitab bahasa Arab yang tinggi dan mendalam huraiannya.

PENULISAN

Nasihat Kepada Anak Buah Kerajaan Mempawah Yang Beragama Islam, diselesaikan pada 25 Syawal 1351 Hijrah/21 Februari 1933 Masihi. Kandungannya merupakan nasihat seorang raja kepada rakyatnya supaya hidup menurut panduan Islam dan menghindari hidup yang bermegah-megah dengan kemewahan. Tidak terdapat nama pencetak. Dalam koleksi ini terdapat tanda tangan Pangeran Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Kerajaan Mempawah lengkap dengan cop mohornya.

Naskhah ini diperoleh dari dalam Istana Kerajaan Mempawah. Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin memulakan nasihatnya dengan kalimat, ``Waktu sekarang dikatakan orang musim Malaise, iaitu segala harga barang tanaman seperti kelapa, getah dan lainnya ada terlalu amat turun harganya. Ialah tiada menurut seperti harga penjualan pada tahun yang telah lalu. Oleh sebab demikian semua orang yang hidup daripada hasil berkebun kelapa, getah, dan lain tanaman ada berasa amat berkurang menerima keuntungan daripada hasil harga kebunnya itu.

Sebab biasanya orang itu menerima banyak dari pendapatan hasil kebunnya tetapi pada waktu sekarang ia cuma menerima hasil yang terlalu sedikit.'' Istilah ``Malaise'' yang digunakan oleh beliau barangkali boleh kita samakan dengan `kemelesetan ekonomi' iaitu sama ada disukai atau pun tidak, diundang atau datang dengan sendirinya, senantiasa datang dan pergi dalam sesuatu pemerintahan atau pun dunia secara keseluruhannya.

INSAF

Daripada mukadimah nasihat di atas dapat kita ketahui bahawa Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, adalah seorang raja yang faham keadaan ekonomi dan mengambil perhatian terhadap rakyat yang diperintahnya.

Dapat dibuktikan pula dengan nasihat beliau, katanya, ``Maka sepatutnya orang yang pemboros itu waktu sekarang banyak menaruh insaf akan dirinya kerana waktu Malaise ini ialah menjadi satu pengajaran kepadanya. Maka hendaklah ia membanyakkan berhemat, jangan lagi suka membuang-buang harta jikalau tiada amat fardu ...'' Baginda menganjurkan berusaha supaya wang dapat digandakan, baginda menyambung kalimat di atas, ``Jika sekiranya mereka itu ada kelebihan daripada nafkah yang wajib baginya pada masa ini lebih baik diperbanyakkan berusaha menuntut jalan kemajuan bagi dunia dan akhirat atau pun apa sahaja yang mendatangkan keuntungan baginya.

Jauhkan sifat pemboros yang mengecewakan hidup kita ...'' Sikap Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin tidak terikat dengan sesuatu adat kuno, tetapi beliau lebih mengutamakan ajaran yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Mengenainya dapat kita pelajari daripada kalimat, ``Maka kerana demikian terasalah pada fikiran, hati kita, akan memberi nasihat kepada bangsa Islam anak buah kerajaan Mempawah supaya mengubah adat kuno itu (adat zaman dahulu) yang kiranya pada fikiran kita tiada sekali merosakkan pada hukum agama Islam...'' Yang dimaksudkan dengan kalimat ini ialah pembaziran kewangan dalam upacara perkahwinan, berkhatan dan lain-lain.

Menurut baginda dalam masa krisis ekonomi cukuplah dikerjakan hal-hal yang diwajibkan oleh syarak saja. Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah, ketika menyusun nasihatnya, baginda menyebut beberapa kitab rujukannya dalam bahasa Arab iaitu I'anatut Thalibin oleh Saiyid Bakri Syatha. Rujukan dalam bahasa Melayu ialah Sabilul Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

KETURUNAN

Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin, Raja Mempawah yang terakhir ini meninggal dunia akibat korban pembunuhan kejam tentera Jepun sewaktu perang dunia kedua. Hingga sekarang tidak diketahui di manakah tempat pembunuhan itu sebenarnya terjadi. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1944 Masihi. Sewaktu pembunuhan terjadi, Gusti Muhammad Taufiq Aqamuddin meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri, iaitu Pangeran Muhammad yang kemudian dikenali dengan nama Drs. Jimmy Ibrahim, seorang tokoh yang terkenal dalam pemerintahan Propinsi Kalimantan Barat.

Putera-puteri beliau yang lain ialah Pangeran Faishal, Pangeran Taufiqiyah dan Pangeran Abdullah.Kesimpulan dan penutup artikel ini, penulis berpendapat bahawa hubungan Mempawah dan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Brunei sejak Upu Daeng Menambon telah terjalin kekeluargaan yang sangat erat.

Oleh itu masa kini hubungan silaturahim perlu diikat dan dijalin kembali. Mengenai hal ini dirasakan perlu diikatkan dengan penelitian sejarah, kebudayaan, pelancongan, kerjasama ekonomi dan lain-lain yang dirasakan perlu. Mempawah dan Kalimantan Barat khususnya atau Kalimantan/Borneo umumnya adalah berpotensi untuk kekukuhan ekonomi rakyat Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam pada masa-masa yang akan datang.

Rakyat mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin tiga negara yang memerintah Kalimantan/Borneo sekarang mengambil berat untuk menangani perkara-perkara yang tersebut di atas.

Monday, October 02, 2006

Kalbar yang Majemuk

Kalimantan Barat adalah sebuah negeri yang menurutku menjadi tanah perjanjian bagi banyak anak bangsa di nusantara. Keindahan akan keragaman ini tampaknya bukan saja baru sekarang adanya, namun sudah sejaklah sedari dahulu.

Contoh yang paling mudah kita lihat adalah banyaknya nama-nama kampong di sekitar kota Pontianak, yang diambil dari lokasi asal para generasi awal penghuni bandar terbesar di Kalimantan Barat. Di sekitar kampong dalam atau keratin kerajaan Pontianak berada ada kampong banjar-serasan, tambelan-sampit, kampong arab, dan kampung dalam-bugis. Selain itu masih ditemukan kampung bangka-belitung di seberang dari keraton. Adapula kampung jawa tengah di jalan menuju ke Sei Ambawang.

Bukti lainnya adalah beragamnya suku para korban yang wafat akibat amukan dari tentara Jepang, yang menurut hasil persidangan militer kejahatan perang dikarenakan ketakutan (hiperphobia) yang dialami pimpinan lokal tentara Jepang akan kedatangan sekutu, yang saat itu sudah berada di Philipina. Pembunuhan yang diperkirakan menelan 21.037 jiwa tersebut terjadi pada beberapa saat sebelum tanggal 28 Juni 1944. Pemberitaan penangkapan dan pembunuhan ini hanya dilakukan di surat kabar lokal berbahasa Jepang di Pontianak "Borneo Shinbun" terbitan hari Sabtu tanggal 1 Sitgatsu 2604 atau tanggal 1 Juli 1944. Nah, dari terbitan koran ini, berdasarkan nama-nama mereka kita dapat melihat bahwasanya pada saat itu penduduk Kalimantan Barat sudahlah sangat heretogen.
1. J.E Patiaina (51) - ambon
2. Syarif Muhammad Alkadri (74) Sultan Pontianak – melayu/ arab
3. Pangeran Adipati (31) Putra Sultan Pontianak – melayu/ arab
4. Pangeran Agung (26) Adik P. Adipati – melayu/ arab
5. Ng Nyiap Sun (40) - tionghoa
6. Lumban Pea (43) - batak
7. R Muslimun Nalaprana Tokoh Volksraad - melayu
8. Kei Liang Kie (54) - tionghoa
9. Ng Nyiap Khan (35) - tionghoa
10. Panangian (48) - sulawesi
11. Noto Soedjono (42) -Jawa
12. F.J.Loway Paath (44) - menado
13. C.W.Octavianus Lucas (42) (?)
14. Ong Tjoe Kie (52) - tionghoa
15. Uray Aliuddin (33) -melayu
16. Gusti Saunan (44) PanembahanKetapang -melayu
17. M.Ibrahim Tsafiudin (40) Sultan Sambas -melayu
18. Sawon Wongso Utomo (45) -Jawa
19. dr Soenarjo Martowardojo (33) -Jawa
20. Muhammad Yatim (38) (?)
21. Raden Mas Soedijono (31) -Jawa
22. Nazaruddin (35) (?)
23. Soedarmadi (30) -Jawa
24. Tambunan (29) - Batak
25. Tji Boen Kie (42) Wartawan - tionghoa
26. Nasroen Sutan Pangeran (31) - Minang
27. E.Londok Kawengsion (44) (?)
28. W.E.F. Tewu (51) (?)
29. Wagimin bin Wongsosemito -Jawa
30. Ng lung Koi (45) - tionghoa
31. Theng Swa Teng (47) - tionghoa
32. dr R.M.Ahmad Diponegoro (40) -Jawa
33. dr Ismail (34) (?)
34. Ahmad Maidin (40) (?)
35. Nurlela Panangian (45) (?)
36. Tengku Idris (50) Panembahan Sukadana -melayu
37. Gusti Mesir (43) PanembahanSimpang -melayu
38. Syarif Saleh (63) Panembahan Kubu -melayu/ arab
39. Gusti Abdul Hamid (42) Panembahan Ngabang -melayu
40. Ade Muhammadd Arif (40) Panembahan Sanggau -melayu
41. Gusti Muhammad Kelip (41) Panembahan Sekadau -melayu
42. Muhammad Taufik (63) Panembahan Mempawah -melayu
43. A.T.P.Lontang (46) -menado
44. Raden Nalaprana (43) -melayu
45. Gusti Jafar Panembahan Tayan -melayu
46. Raden Abdul Bahri Daru Perdana Panembahan Sintang -melayu
47. dr Rubini (39) Ka. R.S. Pontianak -Jawa
48. Mrs Amalia Rubini -Jawa

Batu Ballah Batu Betangkup

Batu ballah, Batu betangkup, Tangkupkan aku, Anggan kakiku
Aku kemponan Tallor Timbakul
Oh mak, oh mak, Balik udde' Hari dah malam Adek na' nyussu.


Begitulah syair dan lagu berirama pilu yang hingga kini selalu didendangkan ketika sang ibu mengiringi si Dodoi yang sampai waktunya akan tidur. Di dalam syair lagu itu dengan mudah disimak bahwa Batu Ballah itu adalah jelmaan Dewayang mengerti akan rintihan hati seorang ibu yang pasrah berpisah dengan kedua anak kesayangannya karena terlalu besar "rasa kepinginnya" untuk menikmati lezatnya telur Tembakul di hari itu. Lalu terjadilah dialog melalui syair yang dilantunkan gadis kecilnya, satu-satunya kakak Si Bungsu yang tak henti-hentinya menangis. "Oh mak, oh mak, ampunkanlah dan maafkanlah kami yang manja. Kembalilah pada kami, Mak. Jangan dekati Batu Ballah itu. Kasihanilah adik kelaparan susu, menangis sedari tadi. Oh Mak, oh mak kemarilah jauhilah Batu Ballah itu. Kami takut mendekat ke sana......

Begitulah mengawali cerita rakyat pantai Tanjung Batu (di Pemangkat, Kabupaten Sambas) yang terkenal itu. Di sana pernah hidup tiga anak manusia, yaitu seorang ibu yang sudah menjanda bernama Mak Risah dengan kedua anaknya yang sulung perempuan bernama Long Ijun dan yang bungsu laki-laki bernama Su Pisok. Mereka hidup berkasih-kasihan dan senantiasa bertawakal menerima kadar yang serba berkekurangan sejak ditinggal pergi Sang Ayah yang sudah lama tiada.
Ditempat yang jauh dari keramaian itulah keluarga kecil ini menjalani sisa-sisa hidup dalam penderitaan, tertutup kepala terbuka kaki, tertutup kaki terbuka kepala. Kesulitan yang tiada bertepi membuat Mak Risah terkadang-kadang berputus asa. Terlebih lagi si Bungsu selalu saja menangis, sementara Long Ijun yang sangat menyayanginya hampir kehabisan waktu membantu ibunya selain menjaga dan merawat si manja yang hanya seorang itu.

Pada suatu hari Mak Risah berkata kepada putri sulungnya itu. "Nak, jaga adikmu baik-baik. Mak hendak pergi mencari Telur Tembakul". Setelah itu iapun pergi ke bibir pantai yang airnya sedang kering. Kebetulan banyak sekali ikan Tembakul hari itu, sayangnya belum kelihatan Tembakul yang sedang bertelur. Namun terhibur sejenak hati Mak Risah melihat Tembakul yang berkejar-kejaran karena ikannya dapat hidup di dua alam. Di pantai yang sesekali di lebur ombak tampak jelas ia berjalan dengan sirip dan ekornya dengan dua matanya yang besar dan menonjol.

Setelah mendapatkan telur yang cukup banyak untuk mereka bertiga lalu pulanglah Mak Risah ke pondok yang reot, didapatinya kedua anaknya sedang asyik bermain. Rupanya mereka kehabisan kayu bakar yang biasanya dicari oleh Ijun dan Pisok sambil bermain, demikianpun garam dan kunyit untuk merempahi telur yang diperolehnya itu. Ketika itu ia berpesan kepada putrinya. "Mak ke hutan dulu mencari kayu. Telur sudah mak rebus, kalau sudah masak supaya diangkat, nanti baru diberi rempah dan kita makan bersama", katanya. Long Ijun mengangguk sambil menepuk-nepuk paha adiknya dalam gendongan. Setelah itu Mak Risah pun pergi. Sebetulnya ia sangat lapar dan letih, tetapi siapa lagi yang mengerjakan itu semua.

Sepeninggal maknya, Su Pisok pun minta makan karena sejak pagi belum merasakan apapun juga, belum sempat menyusu pada maknya. Long Ijun ingat pesan maknya sebab telur belum diberi rempah akan tetapi karena adiknya tak henti-hentinya menangis ibalah hatinya. Lagipula apalah dayanya. Ia hanya seorang gadis kecil yang tidak dapat berbuat banyak, tambahan lagi perutnya sendiri terasa menggigit-gigit kelaparan. Hari sudah tinggi, namun mak yang ditunggu-tunggu belum lagi pulang. Karena tidak tahan melihat adiknya yang tak henti-hentinya menangis, lalu diambilnya panci yang terjerang diatas tungku itu. Melihat telur berwarna kuning menusuk hidung, mula-mula diambilnya sedikit, lama-kelamaan sang kakak pun turut merasakan. Dalam keadaan kelaparan itu membuat Long Ijun lupa pesan ibunya dan khilaf tidak meninggalkan untuk maknya walau sedikitpun. Selesai makan keduanya mengantuk lalu tertidur. Sepulangnya Mak Risah dari mencari kayu dan rempah betapa ia sangat terkejut melihat telur Tembakul yang tidak lagi bersisa. "Sampai hati kau Jun, Mak tidak disisakan sedikitpun", katanya mengeluh sambil duduk berpangku tangan dibendul pintu. "Su Pisok menangis terus Mak, sejak pagi kelaparan susu. Ijun pun juga lapar Mak, sampai lupa meninggalkan barang sedikit untuk Mak". "Tapi Mak pun juga lapar sekali, sedari pagi belum merasakan apa-apa. Mak mengira sepulang mencari kayu, kita makan bersama-sama". Long Ijun sedih sekali mendengar uraian Maknya itu. Sekarang apa yang harus dimasak maknya lagi, telur Tembakul sudah habis, hendak mencari lagi, air laut sudah pasang dan ikan Tembakul sudah pergi ke tempat yang jauh mencari pantai berlumpur yang lain.
"Maafkanlah kami Mak, kami telah berdosa...". Mak Risah menangis pilu, sedih sekali. "Sudahlah Jun. Mak sudah kemponan...." katanya teramat sedih karena semua keinginannya dan harapannya telah putus sehingga kemponan. Ia bangkit perlahan, kemudian berjalan lamban menuju ke Tanjung Batu. Jalannya kemudian semakin cepat, akhirnya ia meraung, menangis sambil berlari.

Sesampainya di mulut Batu Ballah iapun memohon: "Batu Ballah, Batu Betangkup, Tangkupkan aku anggan kakiku, aku kemponan Tallor Tembakul". Toop.... bunyi Batu Ballah menangkupkan kedua kaki mak Risah. Mendengar itu Long Ijun pun menangis sambil berlari menggendong Pisok yang juga menangis. "Oh..oh Mak Balik Uddek, hari dah malam, adek na' nyussu". "Tidak, aku tak mau pulang, kamu berdua jahat, tak sayang dengan Mak", jawab Mak Risah sementara kedua kakinya sudah ditangkupkan Batu Ballah, lalu iapun memohon lagi : "Batu Ballah Batu Betangkup, tangkupkan aku anggan parrutku, aku kemponan tallor timbakul". Demikianlah seterusnya sehingga ditangkup bagian perutnya, lalu lehernya.Melihat itu Long Ijun memberanikan diri menyelamatkan maknya, tapi terlambat, yang didapatkannya hanyalah rambut maknya yang panjang terurai. "Oh mak........oh mak tunggulah kami. Tega nian mak tinggalkan kami, adek kecil kelaparan susu. oh mak...oh mak hari sudah malam, pulanglah mak". Tapi Mak Risah sudah tak mau mendengar lagi.

sumber: http://novagia.8m.com/ibatu.html